Thursday, 13 October 2016

Pengenalan



Pengenalan ahli kumpulan dan kumpulan:
1)Muhammad Badrul Amin bin Musa
2)Alifqayoum Afeef bin Hisham
3)Fakhrul Islam bin Anizam





Kumpulan atau blog ini ditubuhkan bagi membicarakan dan berkongsi pengetahuan mengenai pembentukan Malaysia pada tahun 1963.Malaysia yang wujud pada hari ini mempunyai sejarah pembentukan yang panjang lebar. Pada peringkat awal, ia dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya. Setelah mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan yang memerintah Tanah Melayu mendapati keadaan politik yang tidak tenteram di negara-negara jiran boleh memberi kesan kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Justeru, Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyuarakan idea pembentukan Gagasan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei

Faktor-faktor Pembentukan Malaysia

PEMBENTUKAN MALAYSIA



Image result for pembentukan malaysia


6.1    FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA

6.1.1   MENGELAKKAN ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS

Pengaruh komunis yang semakin meluas di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil

Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, Tunku berpendapat penubuhan Malaysia akan dapat menyekat pengaruh komunis daripada merebak di Singapura.[1]


6.1.2   MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK, BRUNEI DAN SINGAPURA

Menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih lagi berada di bawah penjajahan British semasa cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri naungan.

Dalam perancangan penubuhan Persekutuan MalaysiaMalaysia akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Tetapi jika Sabah dan Sarawak cubamencapai kemerdekaan secara berasingan, besar kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun sebaliknya. Jadi, dengan menyertai Malaysia, Kemerdekaan Sabah dan Sarawak boleh disegerakan.

Dalam tahun-tahun 1960-an, kerajaan British sebenarnya sedang dalam pertimbangan untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Namun Sabah dan Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk merdeka apatah lagi untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya yang kurang memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat kerajaan British tidak bercadang untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak walaupun dalam masa lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah ini disamping dapat mengelakkan hasrat komunis untuk membentuk tampuk pemerintahannya.


Sekiranya kemerdekaan tidak diberikan kepada wilayah tersebut, pihak British khuatir wilayah tersebut akan dipengaruhi oleh komunis dan akan menyebabkan British akan hilang kepentingan ekonomi dan sosial pada masa yang akan datang. Disamping itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh luar seperti Filipina dan Indonesia yang berminat terhadap negeri Sabah, Sarawak dan Brunei.


6.1.3   PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI

Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana Tanah Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya. Manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia.


6.1.4   MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK.

Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, nasib penduduk di wilayah ini tidak sama dengan nasib penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh bangsa asing. Sebahagian besar penduduk pula terlibat dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah tersebut digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia, Kemungkinan layanan istimewa akan diberikan kepada penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar. Malahan, kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sistem perhubungan di kedua-dua wilayah ini juga daif, infrastrukturnya masih bergantung pada sungai-sungai dan perjalanan udara. Adalah sukar untuk mewujudkan perhubungan darat secara besar-besaran. Selain itu, golongan Bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan British manakala orang-orang luar yang datang ke wilayah ini diberi perhatian. Justeru, tahap pendidikan, penguasaan ekonomi, kadar celik huruf dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan orang luar. Kaum Bumiputera yang mempunyai pendidikan tinggi sangat sedikit dan faktor ini membataskan peluang mereka untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.

6.1.5   MENJAGA KEPENTINGAN DAN HAK KAUM BUMIPUTERA

Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu akan menjadi golongan terbesar.

Apabila pencantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum Bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak terancam, kemasukkan Sabah dan Sarawakmembolehkan kumpulan Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.[2]

Reaksi Wilayah Dan Negara Jiran

PEMBENTUKAN MALAYSIA

REAKSI WILAYAH TERLIBAT DAN NEGARA JIRAN




Persekutuan Tanah Melayu
Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan Barisan Sosialis meminta supaya idea pembentukan Malaysia dirundingkan terlebih dahulu bersama penduduk Tanah Melayu. Umno bersetuju dengan idea ini tetapi tanpa penglibatan Singapura

Sabah
Wujud banyak penentangan pada peringkat awal sehingga lahir bebrapa buah parti politik yang meluangkan penubuhan atas sentimen pro atau anti-Malaysia.  Parti politik pertama di Sabah lahir pada bulan Ogos 1961 dengan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (United National Kadazan Organization-UNKO) yang dipimpin oleh Donald Stephens.  Parti ini secara jelas menentang pembentukan Malaysia, malah mula memperjuangkan kemerdekaan Sabah.  Pada bulan Jun 1962 Pasok Momogun Kebangsaan Borneo Utara yang dipimpin oleh G.S. Sundang telah ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Sabah.

Hanya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (United Sabah National Organization – USNO) yang dipimpin oleh Tun Mustapha Datu Harun sahaja yang menyokong idea penubuhan ini.[4]  Namun menjelang lewat tahun  1962 dan awal 1963, sebahagian besar penduduknya mula berubah fikiran setelah menerima penerengan mengenai pembentukan Malaysia.

  Sarawak
Parti Negara Sarawk (Sarawak United People’s Party – SUPP) dan Parti Kebangsaan Sarawak (Sarawak National Party – SNAP) secara jelas menentang cadangan peggabungan ini.  SUPP ditubuhkan pada 12 Jun 1959 dan dipimpin oleh Ong Kee Hui.  Manakal SNAP diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan.  Hanya Barisan Rakyat Jati Sarawak (Berjaya) sahaja yang menyokong cadangan tersebut 

Brunei
Secara peribadi Sultan Brunei iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin menyokong pembentukan Malaysia.  Rakyat Brunei juga pada peringkat awalnya berminat untuk menyertai gabungan ini.  Tetapi mereka berpendapat akan menyertai gabungan ini selepas mereka mencapai kemerdekaan terlebih dahulu.

Namun Parti Rakyat Brunei yang dipimpin oleh A.M Azahari telah menentang cadangan tersebut kerana beliau lebih berminat untuk menggabungkan Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan Utara ke dalam satu kesatuan.  Ini keran A.M. Azahari berpendapat, pembentukan Malaysia merupakan satu cara kerajaan British untuk mengekalkan pengaruhnya supaya mereka dapat menguasai ekonomi dan dapat menjamin keselamatan.  Selain itu, mereka juga khuatir Brunei akan kehilangan sebahagian besar kekayaanya jika menyertai gabungan ini.
Singapura
Penduduk Singapura berminat dengan konsep Persekutuan Malaysia.  PAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew menyambut baik rancangan ini kerana mendapati partinya terancam dan kurang mendapat sambutan daripada rakyat Singapura sendiri.  Sementara parti-parti lain seperti Parti Buruh Singapura bersetuju dari segi prinsip tetap menganggap sebagai suatu yang sukar untuk dilaksanakan.  Parti Rakyat Singapura juga menentang gagasan Malaysia kerana berpendapat ia merupakan rancangan British untuk mengekalkan pengaruhnya.
 Indonesia
Pada peringkat awal, Indonesia menyokong pembentukan Malaysia asalkan ianya tidak melibatkan negaranya.  Menteri luar Indonesia, Dr. Suhandiri (New York Times – 13 Nov 1961) pernah menyatakan bahawa Indonesia tidak akan menghalang penubuhan ini sebaliknya mendoakan supaya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya dalam rancangannya. 

Walau bagaimanapun, sokongan ini tidak tahan lama apabila Indonesia telah menentang keras dan mengecam pembentukan ini.  Malah mereka juga telah menyokong tindakan Parti Rakyat Brunei menentang Pembentukan Malaysia pada 8 Disember 1962.  Pada 20 Januari 1963, Indonesia telah menyuarakan tentangan dan mengumumkan konfrontasi dengan melaungkan slogan ‘Ganyang Malaysia’.

Pada 11 Februari 1963, Dr. Subandrio mengisytiharkan dengan rasmi penentangan kerajaan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia.  Mereka mendakwa bahawa tujuan penubuhan Malaysia adalah untuk menyelamatkan getah, bijih timah dan minyak untuk British.  Faktor-faktor pencetus penentangan ialah:

a)     Sukarno berasa Tunku Adbul Rahman membelakangi jirannya apabila membuat pengumuman tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.
b)     Penubuhan Malaysia dipercayai mengagalkan rancangan Sukarno untuk menubuhkan empayar Indonesia Raya (Melayu Raya)
Namun penentangan Indonesia berakhir pada tahun 1965 apabila Sukarno digulingkan dan tematnya diganti oleh Jeneral Suharto.

    Filipina
Presiden Macapagal dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan Filipina menuntut hak Filipina ke atas Sabah.  Mereka juga sebenarnya pernah menuntut Sabah dari pada Kerajaan British dengan menghantar sepucuk surat rasmi pada 22 Jun 1962.  Tuntutan ini dibuat kerana mereka mendakwa bahawa Sabah terletak di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu suatu ketika dulu.  Bagaimanapun, kerajaan British tidak melayan tuntutan ini dan malah mengingatkan Filipina bahawa sebarang tuntutan mereka ke atas Sabah   sama ada daripada kerajaan Filipina atau orang perseorangan akan ditentang oleh kerajaan British.

Presiden Macapagal telah membuat kecaman secara terbuka terhadap penubuhan ini semasa kongres Filipina pada 28 Januari 1963.  Fenomena ini menyebabkan hubungan diplomatik antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Filipina terjejas.  Walaupun Filipina meneruskan tuntutan mereka selepas penubuhan Malaysia, tuntutan ini gagal keran tinjauan dan siasatan membuktikan penduduk Sabah sendiri rela untuk menyertai pembentukan Malaysia.

Proses Pembentukan Malaysia





Image result for pembentukan malaysia

 PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

Proses perbincangan dan perundingan kearah pembentukan Malaysia ini sebenarnya sangat panjang dan kompleks. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukanini memuaskan hati semua pihak.


JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)

Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.

Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.

Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia. Keterangan-keterangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan pembentukanMalaysia ini. Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak  pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.

Dalam perjumpaan-perjumpaan jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting. Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik.


 SURUHANJAYA COBBOLD

Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kerajaan United Kingdom dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan Sarawak (bersama-sama dengan lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu, banyak faedah diperoleh rakyat Negara-negara yang berkenaan. Matlamat penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat fikiran rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan hal ini dan membuat  syor-syor setelah menimbangkan fikiran itu.

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya selama dua bulan bermula pada 19 Februari 1962 dan berakhir pada bulan April 1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat, iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah menemui lebih daripada 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini juga mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum daripada orang ramai untuk menyuarakan pandangan mereka. Semasa menjalankan tugasnya, suruhanjaya telah menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600 pucuk surat dari Sabah dan selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang dikemukakan sama ada oleh lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis Daerah, parti-parti politik, persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan, pemimpin-pemimpin agama mahupun orang perseorangan. Daripada keseluruhan kerja atau tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat tinjauan serta penyiasatan secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar penduduk di kedua-dua wilayah tersebut.

Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

a.            1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan  tanpa syarat
b.            1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.
c.            1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.

  JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN

Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.

Jawatankuasa ini telah membentuk satu perlembagaan khususnya yang melibatkan permintaan Sabah dan Sarawak berdasarkan memorandum yang diterima daripada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak.

Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah :

a.            Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.
b.            Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan ke dalam Persekutuan.
c.            Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah dan Sarawak bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara tersebut.
d.            Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.
e.            Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah kerusi.

  REFERENDUM SINGAPURA

Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil Referendum Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tertentu.

Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan pendirian mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu :
a.            Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).
b.            Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).
c.            Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperoleh wilayah-wilayahBorneo dengan penyertaan ini (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).

Referendum Singapura ini telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan Sosialis dan pihak komunis yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu telah memulau pungutan suara dengan membuang undi kosong. Namun selepas referendum selesai, laporan menunjukkan 71% pengundi menyokong pembentukan Malaysia.

Penganalisis sejarah mendakwa sokongan Singapura ini adalah ekoran kejayaan kerajaan PAP meyakinkan rakyat berhubung tiada kemungkinan taraf kerakyatan mereka akan dilucutkan dengan penggabungan, perdagangan antarabangsa Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung dan ancaman komunis akan dapat dibendung dengan jayanya dengan pembentukan ini. Secara keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan rakyat Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan memilih syarat A, iaitu pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura sendiri.[3]

Pengisytiharan Malaysia

Pengisytiharan Malaysia 
Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan dengan gilang-gemilang di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Di Jesselton, pengisytiharan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Donald Stephens di hadapan Datu Mustapha bin Datu Harun.


Image result for pembentukan malaysia

Kesimpulan

KESIMPULAN


Perjalanan sejarah membuktikan negara ini pernah diceroboh oleh kuasa asing. Justeru, masyarakat melayu selaku masyarakat peribumi telah mengusahakan pelbagai cara bagi mengembalikan kedaulatan dengan mengorbankan jiwa dan raga meraka.Perjuangan ini kemudiannya disusuli juga oleh kaum -kaum lain yang kemudian bersama-sama berusaha untuk memartabatkan sebuah negara yang merdeka. Kerja sama dan tolak ansur antara kaum akhirnya membuahkan hasil apabila kemerdekaan berjaya dikecapi dan matlamat mendirikan negara berdaulat tercapai pada tahun 1997.
  Seiring dengan perjalanan masa dan perkembangan politik, rancangan menubuhkan persekutuan Malaysia yang merangkumi Tanah Melayu,Singapura, Sanbah, Sarawak dan Brunei digagaskan dan akhirnya berjaya dilaksanakan pada 16 september 1963 tanpa Brunei.Namun, Singapura pula telah keluar daripada persekutuan malaysia selepas 2 tahun persekutuan Malaysia ditubuhkan.Penubuhan Malaysia sesungguhnya telah memberikan banyak faedah kepada Tanah melaayu, Sabah, Sarawak , sama ada dari segi politik mahupun sosioekonomi.

Pengajaran


Image result for pembentukan malaysia

PENGAJARAN




  • Malaysia telah melalui pelbagai liku, halangan  dan cabaran sebelum menjadi sebuah negara yang berdaulat pada hari ini.
  • Rakyat perlu bersatu menentang kuasa asing yang menduduki negara  termasuklah pengkhianat negara.
  • Suara rakyat melalui pilihan raya adalah asas penting dalam menentukan tampuk pemerintahan dan hala tuju negara.
  • Peristiwa penubuhan Malaysia memberi pengajaran kepada bakal pemimpin pada masa akan datang agar tidak mementingkan diri dalam segala hal, sebaliknya kepentingan semua pihak perlu diambil kira. Dalam peristiwa ini, pemimpin Persekutuan Tanah Melayu tidak mementingkan diri , sebaliknya bersedia berkongsi kekayaan dan kemakmuran negara dengan wilayah-wilayah jiran yang masih dalam taklukan penjajah.